Oleh Khairunnisa Kamaruddin
Khairunnisa@beritaharian.com.my
8/5/2010
PESERTA Boat On The Road memulakan perjalanan dari Sri Pentas menuju Tasik Kenyir.
Konvoi tarik 200 peserta dengan 50 kenderaan 4x4
PETALING JAYA: Ekspedisi memancing sambil santai ‘Boat On The Road’ (BOTR) yang bermula dari Bandar Utama Damansara di sini ke Tasik Kenyir, Terengganu semalam, menyasarkan penyertaan 100 kenderaan pacuan empat roda (4x4) tahun depan, berikutan sambutan luar biasa.
Majlis melepaskan konvoi membabitkan lebih 200 peserta dengan 50 kenderaan 4x4 itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Sri Pentas kira-kira jam 8 pagi semalam sebelum menuju ke lokasi pertandingan melalui jarak lebih 500 kilometer dan tamat petang esok.
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, yang turut mengetuai konvoi itu berkata, beliau gembira dengan sambutan itu walaupun ia kali pertama dianjurkan.
“Kami berharap jika acara dapat diadakan tahun depan, jumlah penyertaan akan ditambah sehingga 100 kenderaan. Acara seumpama ini dapat membantu kerajaan mempromosikan aktiviti memancing dan cabaran kenderaan 4x4 di tempat menarik seluruh negara.
“Kami menerima banyak permohonan lebih daripada apa disasarkan namun perlu mengehadkan kepada 50 kenderaan yang lengkap dengan bot saja bagi menyertai ekspedisi ini. Kehadiran mereka bukti program ini berjaya menarik minat kaki pancing dan penggemar sukan lasak,” katanya selepas majlis itu.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, 8TV, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail serta Editor Lidah Pengarang Berita Harian, Kamal Ahmad.
BOTR dianjurkan Unit Joran Berita Harian dan TV3 dengan kerjasama Kerajaan Terengganu adalah program pertama seumpamanya yang menemukan kaki pancing yang turut menggemari cabaran kenderaan 4x4.
Acara itu bertujuan mempromosikan slot baru Jelajah Joran membabitkan 13 episod mengenai lubuk memancing di seluruh negara yang dijangka disiarkan TV3, pertengahan bulan Mei.
Peserta berpeluang meraih hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 yang ditawarkan. Juara akan membawa pulang RM3,000; kedua RM,2000 dan ketiga RM1,000. Selain itu kerajaan negeri turut menawarkan hadiah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan naga atau Arapaima Gigas di tasik itu.
Dalam perjalanan ke Tasik Kenyir, rombongan itu semalam turut diraikan Menteri Besar di kediamannya di Kijal, Kemaman dengan hidangan tengah hari selepas peserta beragama Islam menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, Ahmad Said berkata, Tasik Kenyir wujud sejak 30 tahun lalu namun hanya dikenali sebagai lubuk pemancing kerana tidak banyak aktiviti lain yang ditawarkan di situ.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya kini giat merangka pelbagai usaha untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur bagi mempromosikan keindahan Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan yang sesuai untuk semua golongan.
Katanya, beliau berharap program seperti BOTR ini juga akan dapat mempromosikan pelancongan di Terengganu apatah lagi kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan penambahbaikan tasik terbabit.
Sumber
www.bharian.com.my/bharian/articles/BOTRdapatsambutanluarbiasa/Article/
No comments:
Post a Comment